Isnin, 24 November 2014

Saya nak jadi kaya !!

Kenapa Kita Perlu Jadi Kaya?
“Kekayaan bukanlah diukur dengan banyaknya harta.
Namun  kekayaan adalah hati yang selalu merasa cukup.”
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)
Kenapa perlu jadi kaya?
Itulah soalan yang mesti kita jawab.
Makna Kekayaan
Apakah erti kekayaan kepada kita?
Ada yang mendefinisikan kekayaan seperti ada kereta besar, rumah besar, pakaian berjenama.
Namun itu semua sebenarnya bukan kekayaan. Apa yang disebut itu cuma simbol-simbol kemewahan sahaja. Sekiranya kita hanya mengumpulkan simbol maka dalam hati kita pasti tidak merasa puas dan cukup. Kekayaan tidak terletak pada simbol.
Kita Perlu Menjadi Kaya !!
Dalam al-Quran, perkataan zakat disebut 32 kali.
Manakala, sebanyak 26 kali daripadanya digandingkan dengan perkataan solat.
Perkataan sedekah pula disebut sebanyak 12 kali.
Ya, Islam suruh kita ada harta untuk bayar zakat banyak-banyak. Maka janganlah rasa bersalah mencari harta sebab dengannya kita dapat berzakat dan memperbanyakkan sedekah. Kita memang perlu bayar zakat. Dan hanya orang kaya yang bayar zakat.
Padam dari akal fikiran kita, kefahaman seperti ‘menjadi orang kaya dan berharta itu salah dan berdosa’. Yang salah & berdosa itu jika kita mencari harta dengan cara yang salah, makan harta yang haram, atau apabila sudah berharta tidak mahu bayar zakat dan bersedekah.
Hari-hari kita bersolat 5 waktu. Dan 26 kali ayat solat dalam al-Quran digandingkan dengan zakat. Justeru, perkara ini mempunyai mesej yang besar untuk kita.
Orang Kaya Berasa Cukup
Kekayaan juga perlu memberi maksud yang lebih besar dan bermakna dalam hidup kita.
Seperti mempunyai keluarga yang bahagia, mampu berhenti kerja makan gaji sebelum usia 50 tahun, dapat menjadi sukarelawan dalam bidang yang kita suka dan seterusnya.
Simbol-simbol kekayaan itu cuma sepatutnya menjadi alat untuk mencapai kekayaan yang sebenar iaitu apa yang menyebabkan hidup kita menjadi cukup. Apa yang menyebabkan hati kita berasa seronok. Sesuatu yang kita tidak dapat beli dengan wang tunai malah emas sekalipun.
Apakah makna duit yang kita kumpul itu sekiranya tiada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mahu menemankan kita mengelilingi dunia mahupun menikmati secawan kopi?
Apakah makna koleksi kereta yang kita miliki sedangkan kita sakit dan terlantar di atas katil?
Apakah erti banglo yang besar sekiranya ianya kosong dan senyap sunyi dari aktiviti yang merapatkan silaturrahim sesama keluarga dan ukhuwwah sesama jiran tetangga?
Untuk berasa cukup, dari semua gaji dan hasil pelaburan, kita ambil sedikit untuk perbelanjaan yang perlu dan banyakkan berzakat, berwakaf dan memberi sedekah.
Orang Kaya Dapat Memilih Cara Hidup Sendiri
Bagi saya kekayaan juga adalah masa yang dapat dimanfaatkan bersama keluarga.
Tidak ditentukan oleh sesiapa. Saya sendiri yang menentukan apa yang saya patut buat.
Justeru saya mahukan banyak masa terluang bersama orang-orang yang saya sayang. Saya mahu berada di sisi mereka pada saat-saat yang penting, umpamanya ketika almarhumah emak saya sakit tenat saya dapat menjaga beliau sehingga akhir hayat, ketika isteri mahu melahirkan anak saya dapat berada di sisi beliau dan ketika anak-anak mempunyai acara penting di sekolah saya ada bersama mereka. Alat-alat kekayaan adalah untuk membantu saya mencapai kekayaan tersebut.
Justeru saya memerlukan alat-alat tertentu seperti:
Pekerjaan dengan jadual kerja fleksibel.
Bisnes & pelaburan yang dapat memberikan pendapatan pasif.
Aset yang dapat saya jual untuk membeli masa berkualiti dengan keluarga seperti melancong.
Erti kekayaan bagi saya pasti berbeza dengan erti kekayaan tuan.
Ya, walaupun kita sama-sama membeli saham misalnya, ia cuma satu cara untuk mencapai kekayaan yang masing-masing mahukan. Pesan Nabi Muhammad saw:
“Seandainya manusia diberi lembah penuh dengan emas, maka dia masih mahu lembah yang kedua yang penuh dengan emas. Jika diberi lembah kedua, dia masih mahu lembah ketiga. Perut manusia tidak akan penuh melainkan dengan tanah. Allah tentu menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.”
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)
Sebagai manusia kita tidak akan berasa puas mengumpul harta. Sudah ada RM 1 juta, mahu kumpul RM 10 juta pula. Dan jika duit tersebut tidak digunakan pada jalan yang betul ia tak dapat membantu diri kita semula di hari akhirat kelak. Sedangkan harta yang kita sedekah, yang kita wakafkan dapat membantu kita di sana.
Kita sering mendengar berita kematian selebriti antarabangsa yang terkenal, kaya raya dan boleh dikatakan memiliki segala ‘alat-alat’ kekayaan namun akhirnya terlibat dengan gejala dadah atau mati membunuh diri. Sedangkan secara logik akal manusia, mereka telah menikmati segala nikmat dunia namun kehidupan mereka tidak gembira. Mereka tidak berjumpa dengan apa sebenarnya yang hati mereka mahukan.
Orang Kaya Adalah Orang Yang Mampu Memilih
Orang kaya tidak terbatas dengan duit dalam dompet.
Kita mempunyai pelbagai pilihan tanpa dibatasi banyak perkara.
Jadi apa yang sebenarnya hati kecil kita mahu…
Bebas hutang?
Mendirikan rumah anak yatim?
Membantu penyelidikan kanser?
Mengelilingi dunia?
Menjadi sukarelawan?
Mempunyai yayasan sendiri?
Memberikan pendidikan tertinggi kepada anak-anak tanpa bantuan wang ringgit orang lain seperti PTPTN, kerajaan dan peluang biasiswa?
Dalam Islam harta hanya pasti menjadi milik kita sekiranya kita memberi sedekah, zakat dan wakaf. Walaupun harta tersebut nampak ‘berkurangan’ tetapi sebenarnya ia bertambah dan sudah pasti menjadi milik kita. Walaupun ikhlas paling utama, adakah kita berpuas hati hanya mampu bersedekah sebanyak RM 10 berbanding RM 10,000 ?
Ya, ada 1001 matlamat yang dapat kita fikirkan. Carilah matlamat hidup yang memberikan kepuasan dalam hidup kita. Bukan semua perkara dapat dibeli dengan duit, namun tanpa duit juga, banyak perkara yang tidak dapat kita capai.
Sumber : group wassap

Tiada ulasan:

Catat Ulasan